Selasa, 10 Februari 2009

Islam Dalam Dimensi Perjuangan Umat Islam Melayu

ABIM telah melangsungkan Muktamar Sanawi Kali ke 37 pada bulan Ogos lepas. Pada tahun ini, perubahan yang telah berlaku di dalam Pilihanraya Umum ke 12 telah mencetuskan pelbagai isu yang menyinggung secara langsung nasib umat Melayu Islam di negara ini., lantas menyebabkan ABIM memilih tema Memperkasa Perjuangan Bangsa dan Agama dalam menyemarakkan sambutan muktamar pada tahun ini adalah . Ikuti temubual wartawan Risalah (WR) ABIM dengan Presiden ABIM, Tuan Haji Yusri Mohamad(THYM).

WR: Bagaimanakah ABIM menempatkan dirinya dalam era pasca PRU 12 ini?

THYM : Secara asasnya, tidaklah menjadi satu persoalan atau isu yang besar bagi ABIM untuk menempatkan dirinya dalam konteks pasca pilihan raya, sama ada PRU 12 atau mana-mana pilihan raya. Sebagai pertubuhan Islam non-partisan yang pendekatannya adalah untuk menggerakkan islah tetapi menerusi kaedah dakwah, pendidikan dan menimbulkan kesedaran maka datang dan perginya pilihan raya bukanlah sesuatu yang terlalu menentukan dalam kerangka pergerakan ABIM. Bagi ABIM sesiapa jua yang menang atau kalah di dalam kancah pilihan raya, ABIM harus tetap berperanan dan bergerak sesuai dengan idealisme perjuangannya. Jadi, prinsip non-partisan ini menjadi premis asasi bagi ABIM dalam berhadapan dengan situasi seumpama ini.

Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, ABIM tidaklah bersikap tidak endah atau tidak peka pada senario atau perubahan politik. Kita akui bahawa pilihan raya umum ke 12 yang lepas ini bukanlah pilihan raya biasa. Keputusan pilihan raya ke 12 ini adalah sangat berbeza dan berlainan daripada keputusan pilihan raya-pilihan raya yang diadakan sebelum ini. Sudah pasti keputusan pilihan raya yang agak berbeza pada kali ini perlu difahami,dianalisis dan dibaca setepat mungkin. Walau pun berprinsip non-partisan, ABIM sebagai sebuah gerakan yang bergerak di tengah-tengah masyarakat turut menangani isu-isu politik dan turut menyuarakan pandangan-pandangan dalam isu-isu yang berkaitan politik. Memandangkan persoalan kuasa dan politik mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada masyarakat maka sudah tentulah kita perlu membuat bacaan setepat mungkin terhadap keputusan dan makna sebenar di sebalik keputusan pilihan raya ke 12 ini.

ABIM melihat bahawa PRU 12 ini cuba diberi pelbagai tafsiran yang tidak semuanya betul atau tepat. Jadi ABIM turut perlu memainkan peranan untuk memberikan tafsiran yang dirasakan lebih tepat dan mewakili realiti sebenar yang melingkungi suasana PRU 12 ini.


WR: Boleh saudara jelaskan mengapa Muktamar Sanawi pada tahun ini mengangkat gagasan “ Memperkasa Perjuangan Agama dan Bangsa”?

THYM: ABIM melihat bahawa di dalam kepelbagaian tafsiran yang wujud ini, terdapat beberapa tafsiran yang seakan-akan cuba untuk menggambarkan PRU 12 ini sebagai satu petanda atau isyarat bahawa telah berlaku suatu departure atau perubahan yang sangat mendasar dan menyeluruh. Cara berfikir masyarakat dilihat berubah sehinggalah melibatkan soal-soal asas-asas struktur dan kerangka masyarakat itu sendiri termasuk persoalan agama dan bangsa. Sehingga ke tahap seolah-olah formula kedudukan agama dan bangsa, khususnya di dalam Perlembagaan di negara ini sudah tidak relevan dan perlu dirombak. ABIM dapat merasakan faham-faham sebegini secara halus cuba diselitkan dalam tafsiran keputusan PRU 12 ini.

Kita tidak menafikan bahawa memang ada perkara yang berubah, ada rasa ketidakpuasan hati terhadap beberapa aspek di dalam status quo, ada arus tuntutan agar perubahan dilakukan, dan kita turut bersetuju bahawa ada perkara yang perlu diubah. Tetapi perubahan tersebut ada batasnya. Tidak semuanya perlu dirombak dan sudah ketinggalan zaman. Maka dengan ini kita ingin pertegaskan dan pertahankan apa yang tidak wajar dibuang berkaitan idealisme dan aspirasi perjuangan agama dan bangsa. Bagi kita aspirasi dan idealisme yag meletakkan agama dan bangsa dalam kedudukan yang istimewa dalam kerangka negara bangsa Malaysia perlu dipertahan dan diperkasa. Inilah sebab mengapa kita memilih tema ini sebagai tema muktamar pada tahun ini.

Kita nampak ada kecenderungan untuk cuba memperlekehkan persoalan-persoalan ini dan cuba untuk menyatakan bahawa semua ini bukan lagi sesuatu yang tidak lagi menjadi masalah, tak relevan dan non-issue. Sebagai contohnya, dalam isu kemuafakatan antara pemimpin politik Melayu-Islam, ada yang mencemuh syor mengadakan Muzakarah dengan begitu kasar sekali. Pada hemat saya, ini adalah sesuatu yang tidak wajar. Kita harus bezakan antara political manouvering oleh orang-orang politik dan soal semangat kebersamaan dan persaudaraan seagama dan sebangsa. Ini semua tidak salah atau bertentangan dengan Islam.

Namun kita dapati soal ini sering mendapat tentangan dan serangan pihak tertentu seperti laman blog MalaysiaToday. Pemiliknya, Raja Petra Kamarudin sentiasa mengatakan atau cuba memberi gambaran bahawa apa sahaja cakap-cakap berkaitan Melayu atau bangsa adalah bertentangan dengan Islam. Ini adalah satu fahaman yang dangkal dan menyeleweng. Islam tidak menolak secara mutlak tentang isu-isu, persoalan dan sentimen yang berkaitan bangsa. Islam adalah agama fitrah, dan persoalan kaum dan bangsa itu adalah sesuatu yang bersifat fitrah kepada manusia. Maka adalah salah bagi sesiapa yang mengatakan bahawa apa-apa sentimen dan perjuangan tentang bangsa dan kaum adalah bercanggah dengan Islam.

Islam datang meraikan fitrah manusiawi termasuk bangsa dan agama dengan cara memandu dan mengarah fitrah tersebut supaya berada di dalam kerangka yang tepat. Maka atas faktor inilah mengapa ABIM memilih gagasan ini sebagai tema muktamar kita. ABIM tetap dengan keyakinan bahawa ini adalah idealisme dan aspirasi yang diajar dan ditunjuk oleh agama serta membentuk sebahagian daripada warisan budaya kita sebagai umat Melayu. Inilah yang menjadi inti jati diri kita. Dengan longgarnya aspirasi perjuangan bangsa dan agama, maka kita sebenarnya akan kehilangan jati diri kita, sebagaimana disebutkan di dalam Quran.
“...Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah SWT, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri...”
( Al-Hashr:19 )

Jangan sampai akibat kita lupa pada Allah SWT dan agamaNya, akhirnya kita menjadi lupa pada diri sendiri. Allah SWT telah menyuruh agar kita memperjuangkan agama manakala Islam memberi ruang yang khusus dalam persoalan fitrah bangsa ini. Dalam konteks Malaysia, realitinya adalah umat melayu mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan agama.

Persoalan bangsa dan agama di Malaysia tidak boleh dipisah-pisahkan kerana beberapa sebab. Antaranya realiti demografi masyarakat. Realitinya, majoriti penduduk di Malaysia ini adalah yang beragama Islam dan majoriti ini semakin bertambah. Di kalangan penganut Islam pula, majoritinya terdiri daripada umat Melayu dan bumiputera. Ini membuktikan bahawa soal bangsa itu adalah sesuatu yang terikat dengan agama. Lemahnya bangsa akan bererti lemahlah agama.


WR: Bagaimanakah ABIM akan berperanan dalam menghadapi serangan-serangan pemikiran yang cuba menjauhkan umat Islam di negara ini daripada jati dirinya?

THYM: Peranan ABIM yang utama adalah menjadi elemen yang sedar dalam masyarakat, the conscience of the Ummah. Dengan peranan ini, ABIM, bersama-sama dengan elemen–elemen yang selari dalam masyarakat harus berperanan mempertegas dan memperkasakan gagasan dan wawasan. Kita sedang berhadapan dengan sebuah gelanggang pertarungan fikrah. Fikrah yang diartikulasikan dengan lebih baik dan mampu meyakinkan, akan mengatasi yang lain dan akan lebih mencorak dan menentukan masa depan realiti politik, ekonomi dan masyarakat.

ABIM dengan peranan tradisinya yang tergambar menerusi slogan ‘menegakkan kebenaran dan keadilan’, atau sebagai ‘jurubicara umat’, memang berkewajipan untuk menghadapi serangan fikiran yang cuba menghakis jati diri keIslaman dan keMelayuan masyarakat kita pada hari ini. Untuk tujuan ini, ABIM akan mengambil beberapa strategi. Antaranya, kita akan terus memperjelaskan dan menyebarluaskan perspektif kita terhadap isu yang berkaitan. ABIM juga akan memainkan peranan untuk menggerakkan rangkaian-rangkaian seluas mungkin untuk bersama-sama mendokong idealisme kita. Di samping itu, ABIM juga akan mendekati dan mengemukakan pandangan-pandangan yang kita yakini lebih absah kepada semua pihak yang berpengaruh dalam masyarakat, termasuklah kepimpinan tertinggi negara hinggalah ke peringkat akar umbi. Kita akan menggerakkan proses ini dalam pelbagai bentuk, sama ada menerusi seminar, bahan terbitan, kempen-kempen kesedaran termasuklah kunjungan hormat kepada pemimpin-pemimpin masyarakat daripada pelbagai kaum.

Dalam konteks ini, saya ingin mempertegaskan bahawa ABIM bukanlah sebuah gerakan yang jumud dan hanya melihat ke dalam. Sebaliknya, kita tidak akan rasa takut dan kekok untuk berhadapan dan bertemu dengan kawan-kawan kita dari kalangan bukan Melayu dan Islam, baik daripada parti-parti politik dan NGO untuk menjelaskan mengapa kita mengambil sikap ini dan mengapa sikap ini lebih baik untuk negara ini dan semua pihak. Inilah antara strategi dan peranan yang akan kita mainkan.


WR: Bagaimanakah pula ABIM dapat melaksanakan agenda 3P di dalam realiti sosiopolitik dewasa ini, memandangkan rakyat lebih tertumpu kepada isu-isu seperti kenaikan harga minyak dan politik?

THYM: Sebenarnya pendekatan 3P, yang merujuk kepada pendekatan dan strategi ABIM dalam menyusun atur gerak kerjanya sebagai sebuah organisasi, seandainya difahami dengan setepatnya, adalah sangat terkait rapat dan mencakupi isu-isu yang hangat dibicarakan oleh masyarakat, seperti kenaikan harga minyak dan isu-isu politik.

Dalam agenda PENDIDIK misalnya, kita melihatnya dalam konsep yang luas. ABIM ingin menjana pendidikan agar dapat memperkasa insan dan individu dalam masyarakat sehingga akhirnya mereka mempunyai kekuatan untuk menghadapi apa jua isu. Masyarakat yang terdidik dengan baik pastinya tidak akan cepat hilang punca atau buntu dalam menghadapi apa jua persoalan, malah tidak mudah dilambung-lambung oleh badai pergolakan ekonomi dan politik.

Dari sudut PEMBELA, walaupun dengan pendekatan non-partisan, kita tidak akan hanya membiarkan soal-soal penting yang melingkari kehidupan umat dan masyarakat kepada ahli-ahli politik sahaja. Seperti kata orang, ‘politics is too big to be left only to the politicians’, hal-hal politik dan ekonomi adalah persoalan-persoalan yang besar, penting, terlalu mustahak untuk diserahkan semata-mata kepada ahli politik. ABIM akan bersuara dalam mengemukakan pandangan berhubung isu-isu ini , namun dipandu semangat ‘ Al-Dinu al-Nasihah’, bukan untuk mencari populariti, atau membangkang semata-mata kerana sentimen, atau just for the sake of opposing. Semangat kita adalah nasihat dan tentunya nasihat boleh disampaikan menerusi pelbagai cara. Seandainya disampaikan dengan cara yang lunak yang ternyata lebih berkesan, maka itulah yang lebih baik. Pendekatan ini sejajar dengan akhlak Islamiy yang melarang kita meninggikan suara dalam keadaan yang tidak perlu. Namun, dalam keadaan-keadaan tertentu , seandainya hanya suara yang tinggi sahaja berkesan,maka itulah pendekatan yang kita akan ambil, insyaAllah.

Dalam konteks PRIHATIN, pendekatan ini menjadikan kita sebagai sebuah gerakan yang turut menyantuni masyarakat secara lansung dan membolehkan ABIM menangani soal kebajikan mereka dari dekat.

WR: Apa pandangan saudara terhadap cadangan agar pemimpin-pemimpin dari parti politik Melayu, iaitu PAS dan UMNO untuk bermuzakarah?

THYM: ABIM telah menyatakan pendirian kita dalam isu ini menerusi kenyataan rasmi kita. Kita berpandangan bahawa pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu mempunyai saluran dan budaya komunikasi yang sihat dan progresif. Kita menerima hakikat bahawa dalam persaingan politik, sudah tentu akan ada kritik-mengkritik antara parti-parti politik. Ini adalah sesuatu yang lumrah dalam amalan politik kepartaian demokrasi moden. Tetapi pada masa yang sama ingin kita menyatakan bahawa semua itu ada masa, musim dan ketikanya.

Adalah sesuatu yang sihat, progresif dan konstruktif, jika ada ketikanya, pemimpin-pemimpin politik Melayu tanpa mengira parti, dapat duduk bersama atas niat berbincang, bertukar pandangan, saling menasihati dan tegur-menegur dalam hal ehwal berkaitan agama dan bangsa. Selain daripada amalan menyerang dan mengkritik dari jauh, perlu ada ruang, masa dan kesempatan mereka duduk bersama bertukar-tukar pandangan secara berdepan, dan tidak semestinya dalam suluhan media. Malah ada baiknya sekiranya sesekala ianya bebas daripada suluhan pandangan umum. Mungkin ini boleh membantu mereka dapat bermuzakarah dan berbincang secara lebih bebas, tidak bersifat berdebat dan tidak dipengaruhi keinginan meraih undi atau ketakutan hilang undi. Muzakarah sebegini mungkin tidak dapat berlangsung dengan baik terlalu terdedah kepada umum. Muzakarah ini sekiranya dilihat dalam semangat ini adalah sangat positif dan wajar. Kita juga menegaskan bahawa muzakarah sebegini tidak semestinya didorong dan terikat dengan agenda penyatuan atau penggabungan.

WR: Apakah amanat saudara buat sekelian warga ABIM?

THYM: Saya ingin menyeru diri saya dan seluruh warga ABIM sempena dengan Muktamar Sanawi kali ini untuk bersama-sama menyiapkan diri kita dengan segala kekuatan, persiapan dan bekalan untuk terus mendokong dan memperkasa aspirasi perjuangan ini. Umat dan bangsa sentiasa mengharapkan ABIM yang dapat berperanan dengan segar, efektif dan berkesan. Kita harus melihat ini sebagai sebuah seruan yang suci, a higher call, , satu tugas yang mulia dan ruang untuk membuktikan diri kita kepada Allah Subhanahu wata’ala, sebagai hambaNya yang patuh dan setia, yang tahu harga dirinya , dengan bersedia memikul risalah dan amanah yang ditugaskan. Inilah lambang istiqamah dan kesetiaan kita terhadap apa yang sudah kita bina dan gerakkan selama ini. Inilah perjuangan kita dan sepatutnyalah kita terus setia dengan perjuangan ini dalam keadaan terdapat usaha-usaha untuk merubah dan mencabar aspirasi-aspirasi asas perjuangan ini. Muktamar Sanawi pada tahun ini, dengan tema yang kita pilih, sangat tepat dengan situasi dan keadaannya.Ini adalah satu ruang keemasan untuk kita gunakan sebagai platform untuk bermuhasabah, memugar idelisme, merapatkan saf, memperkukuh rangkaian dalam memastikan kejayaan misi da’wah di negara kita dan umat sejagat, dengan izin dan tawfiq Ilahi.

Tiada ulasan:

Hit CountersRank Noodle