Teluk Intan 8 J'Akhir 1426H @ 15 Julai 2005 (Jumaat) - Perbedaan pendapat di antara sesama umat Islam dalam beberapa perkara mengenai hukum fiqh telah menimbulkan perbedaan pandangan di kalangan penganut-penganut mazhab-mazhab yang wujud.
Harussani berpesan bahawa umat Islam mestilah berguru dengan guru-guru agama yang muktabar dan ikhlas dalam mempertahankan kesucian agama. Walau pun perbedaan pandangan ini adalah dalam perkara furuk (cabang) dan tidak sepatutnya menjejaskan keimanan sesama mereka, namun di akhir-akhir ini , perbedaan ini telah mencetuskan isu yang kontroversi hingga berlaku tuduh menuduh dan label-melabel akan antara sesama penganut beragama Islam.
Keadaan ini dihangatkan lagi dengan tulisan-tulisan oleh mereka yang mengaku 'ulama' walau pun tanpa ada pengetahuan agama yang mendalam. Hanya dengan satu kesempatan menulis atau berpeluang bercakap di media massa mereka mengeluarkan 'fatwa' sendiri yang mengelirukan umat Islam seluruhnya.
Justeru itulah kita mendapati beberapa 'fatwa' baru keluar di kalangan umat antara lain menyatakan bahawa katak halal dimakan oleh umat Islam dan 'pelacuran' halal atas sebab-sebab mudharat.
Kemunculan 'fatwa' ini mengancam pendirian umat Islam yang asas keimanannya tidak kukuh, apa lagi jika mereka tidak pernah berguru atau mengikuti kelas-kelas agama.
Demikianlah antara luahan yang disampaikan oleh YBhg Dato' Seri Dr Hj Harussani bin Hj Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak dalam ucap utamanya semasa Seminar Al-Quran berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, pagi tadi.
Mufti Negeri Perak itu berpesan bahawa selain sering menghadiri kuliah atau kelas agama, umat Islam mestilah berguru dengan mereka yang muktabar dan ikhlas dalam mempertahankan kesucian agama tanpa berselindung di sebalik agenda lain - JMNPk
Tiada ulasan:
Catat Ulasan