Ahad, 8 Februari 2009

Pemikiran Fiqh : KONSEP FIQH MALAYSIA.

Oleh: Profesor Dato' Dr. Mahmood Zuhdi Hj Ab Majid

Mungkin bagi sesetengah kalangan, istilah Fiqh Malaysia ini merupakan sesuatu yang janggal. Bagaimana pun ia bukanlah bersifat begitu. Mungkin namanya sahaja agak janggal, tetapi konsepnya biasa sahaja.

Dalam tradisi ilmu Islam, fiqh biasa diertikan sebagai kefahaman tentang hukum Syara' berasaskan dalil-dalilnya secara terperinci. Sumber asasnya ialah al-Quran dan al-Sunnah. Kalau telah berlaku Ijma' hukum berkenaan tidak perlu lagi dianalisis semula .Kerana sifatnya sudah menjadi mutlak dan universal

Kalau hukum berkenaan tidak terdapat secara jelas dalam al-Quran ataupun al-Sunnah , dan tidak juga ada ijma' ulama mengenainya ia boleh ditentukan melalui berbagai method analisis. Paling berautoriti ialah method qiyas, iaitu analisis perbandingan serupa. Di samping qiyas ada Istihsan, iaitu realisasi perbandingan berbagai dimensi termasuk kepentingan umum. Seterusnya ialah maslahah, iaitu kepentingan umum yang nyata. Kemudiannya ialah urf, iaitu realiti hidup yang mantap dalam apa saja bidang. Terkemudian lagi ada berbagai method yang tidak perlu disebut disini.

Semua proses ini disebut sebagai fiqh, iaitu kefahaman yang mendalam tentang hukum Islam. Dalam usaha memahami hukum berkenaan berasaskan sumber-sumbernya tadi, ada dua unsur yang tidak kurang pentingnya dalam proses berkenaan. Kedua-dua unsur tersebut ialah nilai intelektual para fuqaha dan realiti semasa bila dan dimana proseh fiqh atau kefahaman itu berlaku.

Kedua-dua unsur inilah biasa nya yang memberi warna yang berbagai kepada hukum yang disimpulkan. Dengan kata lain orang banyak berbeza pendapat kerana berbeza tahap keilmuan dan intelektuial, juga kerana berada dalam persekitaran hidup yang berbeza. Berasaskan kepada unsur ilmu/intelektual dan realiti hidup semasa dan setempat inilah lahirnya idea tentang fiqh semasa dan setempat. Seterusnya berasaskan kepada idea fiqh semasa dan setempat inilah lahirnya idea tentang fiqh Malaysia.

Dengan itu, fiqh Malaysia bermaksud memahami hukum Islam berasaskan sumber-sumbernya yang terperinci dengan mengambil kira realiti hidup di Malaysia sebagai salah satu asas dalam memahaminya daripada sumber-sumber berkenaan. Dengan kata lain, fiqh Malaysia bermaksud fiqh semasa pendekatan Malaysia.

Tiada ulasan:

Hit CountersRank Noodle