Utusan Malaysia, 03/02/2003, Ruangan Bicara Agama
SECARA umum takrif ulama di kalangan umat Islam di Malaysia ialah orang yang ahli dalam pengetahuan agama. Maka atas takrif yang begitu umum, masyarakat dengan secara mudah menempelkan label ulama kepada kalangan yang pada kaca mata mereka adalah ahli dalam pengetahuan agama.
Malah ada persatuan yang dianggotai oleh orang-orang yang mengiktiraf diri mereka ulama. Maka pernah suatu ketika dulu dipersoalkan apakah kriteria untuk melayakkan diri menjadi ahli pertubuhan tersebut? Kita tahu kriteria untuk menjadi doktor atau peguam adalah lebih jelas kerana ada sistem dan institusi penauliahan.
Sebaliknya kita di Malaysia dengan mudah menggelar seseorang ulama semata-mata kerana mereka memiliki ijazah dalam pengajian agama dan pandai bercakap. Kelulusan daripada universiti tertentu turut memudahkan lagi mereka digelar ulama.
Sebilangan masyarakat pula meletakkan syarat bahawa ulama mestilah berpakaian tertentu - misalnya serban, jubah dan janggut.
Bagi Mualim, untuk menggelarkan seseorang itu ulama bukanlah perkara mudah. Lebih mudah untuk mengenali peguam, doktor atau jurutera daripada mengenali ulama.
Seseorang sepatutnya layak digelar ulama di atas penerimaan seluruh atau majoriti masyarakat Islam sesuatu negara, rantau atau dunia Islam. Misalnya Allahyarham Hamka. Pada hemat Mualim tidak ada sesiapa pun di rantau Islam Nusantara (Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand) yang boleh menafikan beliau seorang ulama.
Apakah kriteria sebenar seorang ulama? Bagi Mualim seseorang itu mestilah menampilkan kekuatan ilmu yang bukan sekadar bersandarkan kitab-kitab yang pernah dibacanya (termasuk Quran dan hadis), tetapi dia juga mestilah memperoleh taufik-hidayat yang merupakan kurnia istimewa dari Allah.
Jika sekadar bersandarkan ilmu yang dipelajari dari kitab, maka Mualim lebih cenderung untuk menggelar seseorang yang berilmu itu sebagai `ahli kitab.' Tiada bezanya mereka dengan ahli-ahli kitab yang disebut dalam Quran sebagai merujuk kepada pendita-pendita Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah s.a.w.
Seseorang ulama yang tulen sebenarnya dipilih oleh Allah untuk `mewarisi nabi.' Dia juga mewarisi al-Quran dengan ilmu yang bersandarkan taufik-hidayat yang dikurniakan kepadanya oleh Yang Maha Mengetahui Lagi Bijaksana. Bertuah kita jika berguru dengan mereka ini.
Jika kita melihat Hamka sebagai ulama, kita dapati bukan sahaja ceramahnya yang memukau kita, malah hasil tulisannya juga menjadi karya agung, sama ada tafsir al-Qurannya, novel, buku agama yang meliputi ilmu tasauf dan fikh serta falsafah.
Hamka juga boleh diterima oleh sesiapa sahaja kerana beliau tidak mengaitkan dirinya dengan mana-mana golongan sehingga boleh menyebabkan beliau dicurigai oleh mana-mana pihak yang bermusuhan.
Beliau mempamerkan akhlak yang tidak boleh dipertikaikan dari apa jua sudut, sama ada percakapan, tulisan dan perbuatannya. Pada dirinya kita akan mendapati tiada percanggahan dengan firman Allah:
``Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Pengampun.'' - 35 (Faathir): 28
Di Malaysia sekarang, kita boleh melihat dan mendengar dengan jelas betapa orang-orang yang dilabel ulama melakukan perkara yang terang-terang bertentangan dengan sifat-sifat orang yang takut kepada Allah, sama ada dari segi tutur kata atau perbuatan.
Mualim percaya mereka ini tidak mendapat taufik dan hidayat daripada Allah. Mereka ini dianggap ulama setelah menonjolkan diri sebagai ulama hanya dengan berdasarkan ilmu daripada kitab.
Jika kita meneliti diri mereka, akan terserlah sifat riak dan takbur kerana mereka merasakan diri mereka lebih berilmu daripada orang lain. Apakah orang yang takutkan Allah bersifat riak dan takbur?
Mereka ini tidak faham bahawa Allah mengajar Nabi Muhammad yang buta huruf bukan dengan cara atau kaedah yang digunakan oleh ahli-ahli kitab. Jika Allah hendak memilih pewaris nabi, sudah tentulah bukan orang yang riak dan takbur. Allah boleh memberikan kepada sesiapa sahaja kerana Dia Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.
Selasa, 10 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan