Oleh: Ahmad Humaizi @ Abu Bakr Al-Humaidi Bin Din Mustafaha
Lumut, Perak - humaixi@gmail.com
Jalan Terbaik di Perak: Taatlah Kepada Ulil Amri di Kalangan Kamu!
Allah Swt memerintahkan kepada kaum muslimin supaya mentaatiNya, Rasulnya dan Pemerintah di kalangan kaum muslimin seperti yang diperintahkan dalam Surah An-Nisa : 59,
Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisa [4]: 59)
Nabi saw telah menggariskan supaya segala arahan pemerintah wajib ditaati selagi ianya tidak melanggar syariat Islam. Ini disebutkan dalam hadis baginda yang bermaksud,
Wajib bagi seorang muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) dalam perkara yang ia senangi dan ia benci kecuali apabila diperintah berbuat kemaksiatan. Apabila penguasa memerintahkan melakukan kemaksiatan maka tidak perlu didengari dan ditaati (kemaksiatan itu). (Hadis Riwayat Bukhari 13/121, Muslim 3/1469)
Umat Islam juga diperintahkan sentiasa taat kepada pemerintah dan dilarang memeranginya walaupun mereka melakukan perkara yang zalim. Ini disebutkan di dalam hadis yang bermaksud;
Barangsiapa yang melihat sesuatu yang ia benci dari penguasanya maka hendaklah ia bersabar. Barangsiapa yang meninggalkan jama'ah walau sejengkal maka dia mati dalam keadaan jahiliyyah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7143 & Muslim, 1849)
Imam Ibnu Abil Izzi rahimahullah berkata:
"Adapun taat kepada penguasa tetap wajib sekalipun mereka zalim, kerana keluar dari ketaatan terhadap mereka akan menimbulkan keburukkan yang banyak melebihi kezaliman mereka. Bahkan sabar di atas kezaliman penguasa adalah penghapus dosa, melipat gandakan pahala, kerana tidaklah Allah menimpakan hal itu kecuali kerana keburukkan perbuatan kita sendiri. Balasan itu setimpal dengan perbuatan. Wajib bagi kita untuk bersunguh-sungguh meminta ampun kepada Allah, taubat dan memperbaiki diri. Maka apabila rakyat ingin membebaskan diri dari kezaliman penguasa hendaklah mereka mengawali dengan meninggalkan perbuatan zalim pada diri mereka sendiri." (Syarah al-Aqidah at-Thohawiyyah, 2/542)
Alangkah bagusnya ucapan Abdul Malik bin Marwan ketika berkata: "Berlaku adillah kepada kami wahai seluruh rakyat. Kalian menghendaki dari kami seperti pemerintahan Abu Bakar dan Umar, akan tetapi kalian tidak mahu berjalan bersama kami dan tidak pula mencontohi di zaman Abu Bakar dan Umar". (Sirojul Muluk, hal.100))
Sesungguhnya Allah Bersama Orang Yang Bersabar
Walaupun seseorang itu terasa dizalimi oleh pemerintah, maka ketika itu, adalah lebih baik dia bersabar dan tidak melakukan sebarang pemberontakan atau menunjukkan sikap tidak puas hati, kerana pemberontakan terhadap pemerintah akan mengundang kemudharatan yang lebih besar.
Telah disebutkan dalam kisah-kisah para ulama muktabar sepanjang sejarah Islam, mereka dipenjara dan disebat seperti Imam Ahmad, dibuang negeri seperti Imam Nawawi, tetapi mereka tetap bersabar tanpa membawa pengikut-pengikut mereka keluar memerangi pemerintah.
Demikianlah, contoh tauladan yang ditunjukkan oleh ulama-ulama silam supaya ianya menjadi pedoman dan ikutan kepada kaum muslimin seluruhnya. Inilah tanda-tanda kekuatan iman yang dibuktikan oleh tokoh-tokoh ulama Islam dalam berhadapan dengan pemerintah yang zalim.
Allah swt berfirman, maksudnya,
"Sesungguhnya, Allah bersama orang-orang yang sabar"
Di antara dua kemudharatan, pilihlah kemudharatan yang kecil
Demikianlah, disebutkan dalam usul fiqh, jika bertembung dua kemudharatan, maka pilihlah kemudharatan yang lebih kecil.
Islam telah mengajar umatnya supaya berfikir sebelum melakukan sesuatu tindakan. Umat Islam disuruh supaya menilai sesuatu tindakan dan mengkaji kesan yang bakal diperoleh dari tindakan tersebut, lalu Islam menuntut umatnya memilih tindakan yang paling tepat dan tidak merugikan kepentingan kaum muslimin sekalian.
Isu Di Perak
Oleh itu, dalam menilai situasi di Perak, pada pendapat saya, Ir Nizar dan exco-exconya wajib taat kepada ulil amri iaitu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya mereka meletakkan jawatan mereka selaku exco kerajaan negeri dan Menteri Besar dengan baik tanpa mengadakan sebarang bantahan di jalanan yang akhirnya bakal membawa kesan buruk kepada masyarakat seperti kacau bilau, tindakan keras pihak berkuasa dan mcm2 lagi perkara yang mungkin kita tidak fikirkan untuk terjadi.
Tindakan meletakkan jawatan sebenarnya akan lebih mententeramkan keadaan yang sedang panas dan pihak Pakatan Rakyat sebenarnya tidak perlu cepat melatah jika mereka yakin mereka di pihak yang benar.
Ingatlah wahai saudara-saudaraku, merundur sedikit ke belakang itu bukan bermakna anda kalah! Tetapi berundurnya anda seketika tanda anda mengumpul kekuatan. Tidak kiralah kekuatan dari segi strategi mahupun kekuatan iman!
Tuntut Keadilan Dengan Bermaruah!
Saya selaku orang awam yang tidak mengetahui keadaan sebenar yang berlaku dalam isu di perak hanya dapat membaca akhbar-akhbar seperti Utusan, Harakah dan lain-lain sumber media yang ada. Boleh jadi, setiap media tersebut benar dalam penyampaiannya, boleh jadi tidak. Maka disebabkan itu, saya perlu lebih berhati-hati dalam membuat tindakan, supaya saya tidak tergolong dalam golongan yang Allah sebutkan sebagai orang yang menyesal di atas tindakan salahnya, (Rujuk Surah Al-Hujurat).
Disebabkan banyaknya kecelaruan di kalangan rakyat, maka banyaklah rakyat bertindak mengikut batas pengetahuan yang mereka ada, dan yang paling malangnya, mereka bertindak atas dasar emosi yang akhirnya mencemarkan imej "keislaman" mereka. Dan lebih malang lagi, terjadinya permusuhan dan pergaduhan antara pihak yang terlibat.
Maka kerana itu, bila Ir Nizar dan exconya meletak jawatan, dan keadaan kembali tenang, maka ketika itu, tuntutlah keadilan di Mahkamah.
Jika anda yakin anda dipihak yang benar, maka ketahuilah, Jika anda menang, anda menang dengan bermaruah! Tetapi jika anda kalah sekali pun, anda kalah dengan bermaruah jua! Kerana anda tahu, keadilan yang mutlak akan disempurnakan oleh Allah swt di akhirat nanti. Maka bersabarlah dan tenanglah wahai saudaraku, kerana Allah bersama orang-orang yang sabar!
Kesimpulan
Kita telah menyaksikan betapa, sebenarnya demokrasi ini tidak banyak membantu masyarakat kita untuk bersatu melainkan kita kembali kepada agama Allah iaitu agama Islam. Kerana, terbukti orang-orang yang bersatu atas dasar iman, lebih kuat ukhwahnya berbanding orang-orang yang bersatu kerana keduniaannya.
Oleh kerana itu, tidak perlulah kita berslogan dan berkempen untuk mempertahankan prinsip demokrasi kerana ia sebenarnya punca perpecahan manusia. Kita selaku orang-orang yang percaya bahawa demokrasi hanyalah wadah dan alat semata-mata dan disebabkan jalan dan alat ini banyak kekurangan dan banyak pula bahayanya kepada umat, maka eloklah kita fikirkan kembali betapa perlunya kita berhati-hati dalam melangkah dan menggunakannya supaya parang tak makan tuannya dan duri di jalanan tak tertusuk di kaki.
Sebagai kesimpulan, taatlah kepada ulil amri, wala'lah kepada mereka walaupun tidak memihak kepada anda. Inilah sebenarnya yang dikehendaki dari tarbiyyah kalian! Maka zahirkanlah kesan dari tarbiyyah kalian! Disebabkan itu bersabarlah walaupun ianya sangat pahit untuk ditelan. Ingatlah! Sesungguhnya setiap kesusahan pasti ada kesenangan.
Wallahua'lam.
(Jika ada salah dan silap mohon emailkan kepada saya)
Rujukan:
1. http://an-nawawi.blogspot.com/2007/12/sikap-rakyat-terhadap-pemerintah-yang.html
Selasa, 10 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan