Islam & Cemerlang
Kisah-kisah pengislaman Dr. Murad Hofmann (Roman Katolik, Pakar Undang-undang, Diplomat) / Dileep Kumar (Hindu, Tokoh Muzik Bollywood) / Dr. Ingrid Mattson (Roman Katolik, Pakar Pengajian Islam) / Jang (dari Negara China)
Dr. Murad Hofmann (Roman Katolik, Pakar Undang-undang dan Diplomat)
Dr. Murad Hofmann dilahirkan pada tahun 1931 dalam sebuah keluarga Roman Katolik. Beliau memperoleh ijazah pertamanya di Union College New York dan ijazah PhD dalam bidang perundangan di Munich University pada tahun 1957. Pada tahun 1960 beliau memperoleh pula ijazah LL.M. dari Harvard Law School. Beliau dilantik menjadi Pengarah Penerangan bagi NATO di Brussels dari tahun 1983 hingga 1987. Pada tahun 1987 beliau dilantik menjadi Duta Jerman ke Algeria dan pada tahun 1990 pula menjadi Duta ke Morocco
Dr. Murad Hofmann memeluk Islam berdasarkan beberapa pengalaman dan pengamatan. Antara sebabnya ialah pengalaman beliau di Algeria di saat berlakunya pertembungan antara tentera Perancis dengan kumpulan gerila dari kumpulan Algerian National Front.yang menuntut kemerdekaan bagi Algeria. Beliau melihat penderitaan yang dialami umat Islam yang memperjuangkan kemerdekaan ini serta kesabaran yang mereka miliki. Beliau meyakini kesemuanya terhasil kesan dari ajaran Islam yang mulia. Bermula tarikh itu Dr. Murad mula mengkaji al-Quran tanpa henti.
Sebab kedua beliau memeluk Islam ialah kefahaman beliau yang mendalam tentang ajaran Kristian. Beliau mendapati terdapat perbezaan yang besar antara apa yang dipercayai oleh orang Kristian awam dengan apa yang diajar oleh profesor agama Kristian di universiti. Beliau tidak boleh menerima ajaran St. Paul yang amat berbeza dengan ajaran nabi Isa yang asal sedangkan, kata belilau, “St. Paul tidak pernah bertemu nabi Isa maka bagaimana dia berani mengubah ajaran nabi Isa?”
Di samping itu beliau juga tidak boleh menerima hakikat bahawa setiap orang dilahirkan dalam keadaan berdosa, seperti yang terkandung dalam konsep Original Sin dalam ajaran Kristian, dan nabi Isa perlu mati kerana dosa-dosa itu. Beliau berasa pelik tentang mengapa ‘Anak Tuhan’ perlu disalib dengan kejam untuk membersihkan manusia daripada dosa yang mereka sendiri lakukan.
Pada tahun 1980 beliau memeluk Islam. Beliau berkata, “Seorang Muslim hidup tanpa pemujaan kepada makhluk. Dia tidak menyembah Tuhan dengan perantaraan Jesus, Mary atau wali-wali tertentu, sebaliknya dia menyembah Tuhan secara langsung. Justeru seorang Muslim merupakan seorang yang merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.”
Rujukan: http://www.islamreligion.com/articles/124/
Dileep Kumar (Agama Hindu, Tokoh Muzik Bollywood)
Dileep Kumar dilahirkan pada tahun 1966 di Madras, India. Beliau adalah penganut agama Hindu dan memperoleh ijazah dalam bidang Western Classical Music dari Trinity College of Music, Oxford University. Beliau amat popular di India melalui muzik ciptaannya yang merevolusikan muzik Bollywood di India. Semuanya bermula pada tahun 1992 apabila beliau diberikan kepercayaan untuk mencipta muzik dan lagu bagi filem Roja. Beliau berjaya menyerlahkan bakatnya sehinggakan lagu Tamizha Tamizha dalam filem ini menjadi pujaan ramai. Kebolehan beliau memang mengagumkan kerana beliau berjaya menggabungkan unsur-unsur pop, Bach, Beethoven, Mozart, reggae, rock serta muzik Hindu klasik dalam muziknya. Kerana kehebatannya itu beliau menggondol anugerah sebagai Pengarah Muzik Terbaik sebanyak tiga kali.
Pada tahun 1988 Dileep Kumar mengalami satu pengalaman yang pelik, iaitu, ketika berada di Malaysia beliau bermimpi menemui seorang lelaki tua yang menyuruhnya memeluk Islam. Beliau pada mulanya tidak mempedulikan mimpi itu namun apabila, selepas itu, mimpi yang serupa datang berulang-ulang kali dalam tidurnya, beliau mula memandang serius terhadapnya. Minatnya terhadap Islam terus meningkat dan kemuncaknya ialah ketika salah seorang adik perempuannya mengalami sakit tenat pada tahun 1988. Rawatan demi rawatan tidak berjaya menyembuhkan penyakit adiknya sehinggalah mereka bertemu dengan seorang tokoh agama Islam. Secara yang tidak diduga, penyakit adiknya sembuh selepas tokoh agama itu berdoa kepada Allah. Pada tahun 1989 Dileep Kumar dan keluarganya memeluk agama Islam dan beliau menukar namanya kepada Allah Rakha Rahman.
Antara pengalaman yang tidak boleh beliau lupakan ialah pada tanggal 6 Januari 2006 yang merupakan tarikh hari jadinya. Ketika itu beliau berada di Masjid Nabawi di Madinah. Beliau berkata, “Itulah hadiah hari jadi saya yang paling berharga. Selama sehari suntuk saya beribadah di dalam Masjid Nabawi dan apa yang saya rasai tidak ada tolok bandingannya. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah.”
Rujukan: http://www.arabnews.com/?page=1§ion=0&article=76202&d=13&m=1&y=2006&pix=kingdom.jpg&category=Kingdom
Dr. Ingrid Mattson (Roman Katolik dari Kanada)
Dr. Ingrid Mattson berasal dari Kanada. Beliau mendapat ijazah dalam bidang falsafah di University of Waterloo, Ontario, pada tahun 1987. Pada asalnya beliau menganuti agama Kristian Roman Katolik namun disebabkan beliau tidak berasa damai dan tidak berasa dekat dengan Tuhan beliau terus mengkaji demi mencari kebenaran hakiki. Pencariannya membawanya kepada Islam dan ketika berumur 23 tahun beliau memeluk Islam. Solatnya yang pertama begitu bermakna baginya kerana ketika itulah, buat pertama kalinya, beliau berasa begitu dekat dengan Tuhan.
Pada tahun 1999 beliau memperoleh ijazah PhD dari University of Chicago dalam bidang Pengajian Islam. Pengalaman beliau merangsangnya untuk menulis pelbagai artikel bertujuan untuk membetulkan tanggapan negatif sebahagian masyarakat antarabangsa terhadap Islam. Artikel-artikel tulisan beliau banyak memfokuskan kepada aspek undang-undang Islam dan kerelevanannya dengan masyarakat sekarang, isu berkaitan gender dan kepimpinan serta isu-isu semasa yang melanda umat Islam masa kini. Di samping itu beliau sering di undang untuk bercakap di TV serta forum-forum antarabangsa berkaitan isu yang melanda umat dan agama Islam.
Pada hari ini Dr. Ingrid Mattson merupakan Pengarah kepada projek yang dikenali sebagai Islamic Chaplaincy. Beliau juga adalah Profesor di Macdonald Center for Islamic Studies and Christian-Muslim Relations di Hartford Seminary, Hartford, CT. Pada tahun 2006 beliau dilantik menjadi Presiden kepada Pertubuhan Islam Amerika Utara (ISNA).
Rujukan: http://macdonald.hartsem.edu/mattson.htm
Jang (Bangsa China)
Jang berasal dari negara China. Beliau menceritakan kepada staf IslamOnline bahawa perjalanannya kepada Islam bermula dengan isu pengharaman khinzir Jang(babi). Beliau berasa pelik mengapa Islam mengharamkan babi lantas beliau membuat kajian tentangnya dengan membaca beberapa majalah perubatan moden dan perubatan China tradisional. Beliau mendapati beberapa saintis mengatakan daging babi menyebabkan tidak kurang daripada 70 penyakit. Malah perubatan China tradisional juga membuat konklusi yang lebih kurang sama dengan mengatakan bahawa daging khinzir adalah antara makanan yang amat berbahaya bagi kesihatan manusia.
Selepas memeluk Islam Jang memilih nama Selim sebagai nama Islamnya sekali gus mengikut jejak langkah lebih kurang 30 juta Muslim yang terdapat di negara China pada hari ini.
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=Article_C&cid=1201958071962&pagename=Zone-English-News/NWELayout.
Diedit untuk mindasuper.com oleh Dr. Danial Zainal Abidin.
Hasil Nukilan :
Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com
Isnin, 9 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan