Oleh: Prof Dato' Dr Mahmmod Zuhdi Abd Majid
Pendahuluan:
Dalam hidup ini, segala-gala nya berubah dan tidak ada apa pun yang tidak berubah. Semalam bukan lagi hari sebelum nya, dan hari ini bukan lagi semalam. Besok bukan lagi hari ini dan lusa bukan lagi besok.
Dulu pernah ahli falsafah menegaskan bahawa meskipun anda mandi di tempat yang sama dalam sebuah sungai yang sama, tetapi sebenarnya anda mandi di sungai yang berbeza. Air yang anda gunakan pada hari ini bukan lagi air yang anda gunakan semalam. Begitu juga besok anda akan menggunakan ayer yang berbeza, kerana semua nya sudah pergi dan berlalu.
Malah diri anda hari ini bukan lagi diri anda semalam. Begitu juga anda besok bukan anda hari ini. Sehubungan dengan ini penyair agong Islam Umar al-Khayam dalam 揜uba’yat beliau pernah bersenandung, semalam sudah berlalu, besok masih dalam cita-cita, realiti nya hari ini. Mereka yang arif tentang biologi dapat menerangkan kepada kita berapa banyak sel yang mati dan berapa banyak pula sel yang baru muncul dalam tubuh manusia pada setiap hari.
Dalam ilmu tauhid, hakikat perubahan ini telah dijadikan asas untuk menegaskan perbezaan antara Allah yang bersifat sedia kala (qadim) dan segala makhluk ini yang bersifat baru (hadith). Lalu dikatakan, setiap makhluk ini sentiasa mengalami perubahan, dan setiap yang mengalami perubahan itu sifat nya baru (hadith ). Maksud nya, dalam kontes huraian di atas, hanya Allah sahaja yang tidak mengalami perubahan kerana Dia adalah kesempurnaan yang azali. Ada pun yang selain daripada Nya akan sentiasa mengalami perubahan, kerana tidak ada kesempurnaan seperti itu dalam diri mereka.
Ini bererti bahawa perubahan itu adalah sunnah alam. Ia sentiasa berlaku pada seluruh makhluk Allah. Cuma kadang-kala sahaja perubahan itu disedari dan dapat dirasai kesannya secara nyata sementara kadang-kala nya tidak. Ini ada kaitannya dengan besar atau kecil perubahan itu, atau dalam bentuk apa ia berlaku. Matahari naik dan turun, malam dan siang silih berganti, bulan dan bintang beredar, manusia lahir, membesar, dewasa, tua dan mati. Sel dalam tubuh manusia hidup dan mati bertali arus, perasaan pasang surut, fikiran berubah-ubah, dan begitulah seterusnya. Semuanya adalah perubahan tetapi kesedaran tarhadap nya berbeza-beza.
Perubahan Adalah Pembaharuan.
Huraian di atas menunjukkan adanya hubungan yang sangat rapat di antara perubahan dan pembaharuan. Logiknya perubahan itu adalah pembaharuan. Kerana dalam perubahan, apa yang tetrjadi ialah yang lama pergi dan yang baru datang. Malah tidak berbangkit samada yang baru datang itu benar-benar baru atau sebaliknya, kerana apa yang penting ia nya baru datang berbanding dengan yang telah pergi. Kata Anis Mansur, seorang ahli falsafah moden Mesir, di bawah lingkongan langit ini sebenarnya tidak ada yang benar-benar baru. Maksudnya, yang dikatakan baharu itu sebenarnya yang lama datang kembali. Bezanya ia datang dalam bentuk baru, sifat baru, semangat baru, atau sekurang-kurang nya dalam masa dan waktu yang baru.
Kerana itu pembaharuan merupakan proses yang terus menerus. Samalah dengan perubahan yang juga merupakan proses terus menerus. Di sinilah timbuh konsep masa atau zaman. Lalu dikatakan perubahan masa atau perubahan zaman, misalnya. Seolah-olah yang berubah itu sebenarnya bukan sesuatu, tetapi masa atau diistilahkan juga dengan zamaan. Kembali kepada ilmu tauhid seperti disebut di atas, Allah tidak mengalami perubahan, kerana Dia tidak ada kaitan dengan masa, iaitu zamaan dan tempat, iaitu makaan.
Berasaskan kepada hakikat ini, apa yang disebutkan sebagai perubahan itu sebenarnya kembali kepada hakikat yang asal. Caranya ialah dengan meluncur ke depan supaya tidak ketinggalan zaman. Dengan kata lain, pembaharuan itu sebenarnya perlumbaan dengan zaman supaya tidak ketinggalan. Di sini lahir pula konsep maju, iaitu yang sezaman (up-to-date) atau menahului zaman. Lawan nya ialah mundur, iaitu yang ketinggalan zaman (out-of- date)
Maksud nya, terdapat hubungan yang sangat rapat di antara perubahan, pembaharuan dan kemajuan. Seolah-olah perubahan itu adalah pembaharuan dan pembaharuan itu adalah kemajuan. Atau lebih senang difahami lagi, kemajuan itu adalah pembaharuan dan pembaharuan itu adalah perubahan Sebaliknya, tanpa perubahan tidak ada pembaharuan dan tanpa pembaharuan tidak ada kemajuan. Dengan kata lain, tiada kemajuan tanpa pembaharuan dan tiada prmbaharuan tanpa perubahan. Ringkas nya tanpa perubahan tiada kemajuan atau sebaliknya tiada kemajuan tanpa perubahan. Demikianlah sunnah alam. Cuma yang tidak tertakluk dengan sunnah ini hanyalah Allah, kerana Dia tidak tertakluk dengan konsep ‘alam.
Sunnah Alam dan Sunnah Manusia.
Bagaiamana pun sunnah alam bukan satu-satu nya ejen perubahan. Khusus bagi manusia, mereka dihantar kebumi ini untuk menjadi ejen seperti itu. Atas dasar inilah manusia, dan bukan malaikat dijadikan khalifah di bumi. Ini bererti perubahan yang sekadar berasaskan sunnah alam tidak banyak pengaruh nya terhadap kehidupan berbanding yang dilakukan oleh manusia. Tanpa campur tangan manusia, semalam dan hari ini tidak banyak berbeza, munkin begitulah juga besok Matahari pagi tidak banyak berbeza dariapad matahari petang. Bukit, gunung, lurah, sungai, parit dan denai kelihatannya sama sahaja pada tahun lepas dan tahun ini. Pantai juga hanya akan berubah bila terjadi bah. Dari sinilah dikatakan bahawa alam ini persis sebuah panggong pementasan besar dan manusia menjadi pelakunnya.
Cuma persoalannya, perlukah manusia bermusuh dengan sunnah alam? Di barat, menjelang penyebaran faham sekular para sarjana falsafah dan sains menjawab ya. Dari segi agama ia merupakan pemberontakan, atau sekurang-kurang nya penolakan terhadap pandangan gereja kristian pada waktu itu. Kerana bagi gereja, alam adalah keramat yang tak patut disentuh . Akibat nya pembangunan sukar diadakan kecuali secara yang benar-benar selaras dengan sunnah alam.
Bagaimana pun itu bukan ajaran Keristian sebenar nay. Kerana Kristian hanya mengajar masalah keruhaniah atau spritual semata-mata. Cuma oleh kerana gereja mahu campur dalam hal keduniaan para padri menggunakan ajaran kristian yang tidak ada sangkut paut dengan kehidupan dunia itu sebagai doktrin hidup. Ia merupakan suatu eksploitasi agama yang sangat jahat Kerana itulah ia menjadi penyekat kepada kemajuan dan ditentang oleh para ilmuan.
Bagi para saintis ini, yang menggelarkan diri mereka sebagai modernis penghormatan kepada sunnah alam menyebabkan manusia mundur. Kesalahan telah diletakkan kepada golongan gereja yang disifatkan sebagai trsdisionalis. Kerana gereja dengan pemikiran yang sangat tradisional menghalang fikiran manusia dari berkembang dengan cara memaksa mereka menerima pandangan nya secara dogmatik atau tanpa usul periksa.
Berasakan kepada faham sekular, barat mula menempah kemajuan dengan membelakangi sunnah alam. Akhirnya mereka maju dan kamudian berjaya pula memajukan dunia ini berasaskan tamadun baru yang sekular.
Bagaimana pun kesan negatif daripada kemajuan itu semakin dirasa sehari demi sehari. Penolakan terhadap pengaruh alam metafizik telah menjadikan manusia moden begitu miskin dalam aspek spiritual dan sangat sukar untuk mencapai kepuasan hidup. Individualisme yang melampau telah menjadikan mereka manusia-manusia rakus sampai memakan diri sendiri, apa lagi orang lain. Libralisasi kekeluargaan menjadikan setiap individu hanya mengenali diri sendiri semata-mata dan tidak lagi hormat kepada susun letak masyarakat. Begitulah seterus nya demokrasi libral, ekonomi librar dan banyak lagi yang menunjukkan dengan begitu jelas sekali bahawa tamadun baru yang sekular ini benar-benar mengancam hidup manusia sendiri.
Ini bererti, untuk berubah dan maju permusuhan dengan sunnah alam tidak diperlukan. Malah sebaliknya kehendak sunnah itu perlu dihormati . Apa yang boleh dan perlu dilakukan ialah memberi nilai tambah berasaskan usaha manusia sendiri berasaskan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada mereka sebagai khalifah di bumi. Inilah yang dikatakan sebagai senergi di antara manusia dan alam yang merupakan landasan yang betul kearah pembinaan tamadun manusia yang sihat dan sejahtera. Maksud nya segala pembaharuan yang perlu dilakukan untuk mencapai kemajuan dalam hidup ini hendaklah selaras denagn sunnah alam, atau dengan kata lain kembali kepada sunnah alam yang murni.
Konsep Islah dan Tajdid
Dalam Islam, pembaharuan yang mengambil kira kehendak sunnah alam ini biasa dikenali sebagai islah atau tajdid. Tidak seperti modernisasi yang menganjurkan pengabaian terhadap segala jenis yang lama, Islah dan Tajdid menekankan kesinambungan antara yang baru dan yang lama. Malah kadang-kadang istilah-istilah ini memberi erti kembali kepada kemurniaan yang asal
Secara teorinya, sesuatu idealisme itu walau bagaimana unggul sekalipun ia tetap tidak boleh keluar daripada pengaruh masa dan zaman. Kerana sebagai idealisme ia perlu berinteraksi dengan realiti hidup. Berasaskan kepada interaksi itu tadi idea-idea yang praktikal akan lahir dan bercambah.
Munkin pada peringkat awal nya idea-idea itu tadi cukup ideal, tetapi lama kelamaan idealisme berkenaan makin luntur dikaburi oleh realiti hidup di mana idealisme itu direlisasikan. Ungkapan yang muugkin boleh menggambarkan situasi ini secara agak tepat ialah bahawa idealisme yang murni itu telah dikaburi oleh debu zaman. Maka tugas islah dan tajdid ialah untuk membersihkan idealisme berkenaan daripada pengaruh atau kekotoran debu zaman agar ia kembali kepada kemurniannya yang asal.
Secara lebih jelas, islah atau tajdid tidak akan membuang atau mengabaikan idealisme asal sepertimana yang dilakukan oleh modernisme. Apa yang dilakukannya ialah menggilap kembali idealisme asal itu supaya ia bersih daripada sebarang nilai negatif yang munkin melekat padanya sewaktu ia berinteraksi dengan realiti hidup manusia. Kerana itulah meskipun tajdid berlaku namun idealisme yang asal tetap terpelihara.
Namun Islah dan tajdid juga perlu dibezakan dengan tradisionalisme. Kerana tradisionalisme bererti mengekalkan setiap yang lama tanpa membezakan samada ia nya idealisme yang asal atau hasil daripada interaksi idealisme berkenaan dengan realiti hidup. Dengan kata lain, bagi tradisionalis apa saja yang sudah dihasilkan sebelum ini perlu dikekalkan kerana kelmarin lebih baik daripada hari ini dan hari ini lebih baik daripada hari esok.
Ringkasnya, modernisme menolak semua yang lama dan mengambil hanya yang baru. Sebalik nya tradisionalisme menolak semua yang baru dan hanya mengambil yang lama. Sementara Islah dan Tajdid melakuklan penyaringan untuk memisahkan antara idealisme asal dan realiti yang baru. Tujuannya ialah untuk menjamin idealisme itu tetap bersih dan terus boleh dimanfaatkan oleh apa saja realiti baru tanpa dipengaruhi oleh realiti lama yang tidak rasional lagi.
Islah dan Tajdid , atau pun pembaharuan seperti inilah yang disifatkan sebagai sesuatu yang lumrah, sepertimana yang tercatat sebagai tajuk artikal ini. Ia merupakan suatu proses yang berterusan sesuai dengan keperluan idealisme itu sendiri, realiti hidup dan kehendak zaman.
Dengan pendahuluan ini kolum ini berharap akan dapat menemui para pembaca dengan tajuk-tajuk perbincangan semasa yang berasaskan kepada isu tajdid. Tujuannya ialah untuk menyumbang dalam usaha kearah pembinaan modal insan yang mampu merialisasikan cita-cita melahirkan masyarakat Islam yang unggul sebagai asas pembinaan semula tamadun Islam yang telah hilang kewibawaannya sejaka beberapa zaman itu.
Ahad, 8 Februari 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan